SPRM harap diberi kuasa siasat pemilik benifisiari syarikat

  • 5 years ago
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menantikan pindaan aktanya yang akan memberi kuasa kepada suruhanjaya itu untuk melangkaui proksi dan menyiasat pemilik sebenar sesebuah syarikat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata beliau berharap untuk melihat perubahan itu tidak lama lagi.

"Perkara ini telah dilihat kerajaan dan perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad) telah mengumumkan sebahagian daripada inisiatif.

"Tetapi hal ini melangkaui kami, kami ialah agensi dan penjawat awam untuk menguatkuasakan undang-undang. (Hal ini) di tangan pembuat dasar, kami akan berkongsi pandangan tentang sebab perkara ini diperlukan dan kami berharap mereka akan membuat (perubahan) sewajarnya," katanya ketika ditemui pemberita dalam program berkenaan ketelusan pemilik benifisiari hari ini.

Januari lalu, Mahathir menyuarakan hasrat kerajaan untuk meminda Akta SPRM 2009 untuk mewajibkan syarikat telus berkenaan pemilik benifisiari mereka.

Pemilik benifisiari ialah pihak yang memiliki syarikat dan mendapat keuntungan daripadanya, dan transaksi syarikat dilakukan bagi pihaknya.