Tanah runtuh: Operasi 7 jam keluarkan 4 mayat

  • 5 years ago
Operasi pencarian empat mangsa warga Myanmar yang tertimbus dalam kejadian tembok penahan tanah, runtuh di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bungah di Pulau Pinang, berakhir dengan penemuan dan pengeluaran mayat terakhir dari tempat kejadian kira-kira pukul 4.35 pagi ini.

Penemuan mayat terakhir itu menamatkan pencarian selama kira-kira tujuh jam selepas kejadian itu dilaporkan pada pukul 9.45 malam tadi yang menyaksikan pasukan pencarian terpaksa mengharungi beberapa kesulitan sebelum berjaya mencapai misi mereka.

Pengumuman penemuan mayat terakhir oleh Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang seperti membawa kelegaan bukan hanya kepada pasukan pencarian, malah dalam kalangan pengamal media yang pernah mengharungi pengalaman membuat liputan operasi seumpama ini tahun lepas.

Kejadian terbaharu ini sudah pasti mengingatkan mereka kembali kepada kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus 19 Okt tahun lepas yang melibatkan operasi pencarian selama empat hari sebelum berakhir dengan mencatatkan sembilan kematian.

Operasi kali ini turut menyaksikan semangat tinggi dalam kalangan petugas operasi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan efisien dan bersepadu biarpun menghadapi beberapa cabaran.

Dalam insiden semalam, Che Zaimani berkata mayat keempat warga Myanmar yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak binaan tembok penahan tanah di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bunga dekat George Town ditemukan pada pukul 3.35 pagi ini.

Menurutnya, mangsa terakhir itu ditemukan dalam keadaan kedudukan berdiri berhampiran dengan penemuan tiga mayat yang lain.

"Kita telah berjaya menemui kesemua mangsa yang tertimbus dalam kejadian ini. Mangsa terakhir kita jumpa pada pukul 3.35 pagi. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha menyelamat sehingga proses ini selesai.

“Operasi ini ditamatkan sepenuhnya selepas mayat keempat berjaya dibawa keluar," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata pasukan penyelamat mengalami sedikit kesukaran untuk mengeluarkan mangsa disebabkan banyak besi-besi cerucuk yang berada di tempat kejadian sekali gus menyebabkan proses untuk menggali tanah terganggu.