K'jaan sebelum ini gemar memberi wang percuma kepada orang ramai

  • 5 years ago
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Pakatan Harapan tidak begitu disukai oleh sesetengah rakyat Malaysia pada masa kini kerana ia tidak meneruskan amalan pentadbiran sebelum ini yang memberi “wang percuma”.

"Kerajaan sebelum ini gemar memberi wang percuma kepada orang ramai. Semua orang mendapat wang percuma. Jika anda seorang bujang, anda mendapat RM450, nelayan, RM300. Mereka diberi wang tanpa berbuat sesuatu.

“Kini kita mengambil alih dan menanggung beban hutang yang banyak ini. Kita tidak ada wang dan kita tidak boleh memberi wang percuma kepada orang ramai. Disebabkan itu, mereka tidak suka kita. Tetapi ia terpaksa dilakukan,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam sesi dialog pada Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Hadapan Asia kali ke-25, juga dikenali sebagai Persidangan Nikkei.

Beliau berkata, tidak ada cara kerajaan boleh membetulkan masalah kewangan tanpa perlu berhati-hati dan berhemat dalam pengurusannya.

“Kami mahu mereka (orang ramai) mempunyai pekerjaan dan mendapatkan wang. Kerajaan juga akan mempunyai cukup kekayaan dan kita boleh membayar hutang dan wujudkan lebih banyak pekerjaan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, sebuah negara dengan rakyatnya bergantung kepada kerajaan untuk wang percuma tidak akan berkembang, manakala sebuah negara di mana rakyatnya bekerja keras untuk mewujudkan kekayaan akan sejahtera.