Kerajaan negeri Perak benarkan roboh blokade laluan balak Kg Cunex

  • 5 years ago
Kerajaan negeri membenarkan tindakan penguatkuasaan merobohkan sekatan atau blokade laluan pembalakan menuju ke Hutan Simpan Air Cepam di Gerik yang dibina oleh penduduk Kampung Tasik Asal Cunex dekat Gerik di atas tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata tindakan penguatkuasaan itu dibenarkan setelah meneliti semua aduan serta sudut perundangan dan operasi meroboh dijalankan hari ini dengan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Beliau berkata penduduk mendakwa mereka membina sekatan itu kerana tiada perbincangan bersama penduduk setempat dan sekatan dibuat di atas tanah adat mereka, bagaimanapun semakan menunjukkan kerajaan masih belum mengiktiraf kawasan tanah adat yang dituntut oleh penduduk.

"Penduduk Kampung Tasik Asal Cunex menyatakan bahawa tuntutan tanah adat mereka mesti dipersetujui bagi membolehkan mereka bersetuju untuk membenarkan kayu-kayu yang telah ditebang dikeluarkan dari kawasan pembalakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 3 April 2019, Pejabat Daerah dan Tanah Gerik telah mengeluarkan satu surat pemberitahuan pembukaan sekatan laluan pembalakan kepada penduduk kampung tersebut.

Surat itu memaklumkan bahawa sekatan laluan pembalakan ini telah didirikan di atas tanah Kerajaan Negeri Perak dan telah melakukan kesalahan mengikut seksyen 425 (1) (a) Kanun Tanah Negara 1965 iaitu menduduki atau membina apa-apa bangunan diatas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah perlombongan.

Penduduk telah membuat bantahan dan cuba menghalang lori daripada mengeluarkan hasil balak pada 23 April lalu dengan membuat perisai manusia dan isu itu telah disensasikan oleh badan bukan kerajaan tertentu yang mendakwa ia sebagai perbuatan buli pembalak ke atas komuniti Orang Asli.

Recommended