K'jaan kaji tubuh j'kuasa kebenaran dan rekonsiliasi 13 Mei
  • 5 years ago
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji keperluan menubuhkan Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi berkaitan tragedi 13 Mei 1969.

"Akan kaji (will study)," katanya ringkas kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) kali ke-8 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa tersebut, serta membuka dokumen rasmi lengkap berkenaan perkara itu kepada umum.

Dalam suruhanjaya kebenaran dan rekonsiliasi, pendengaran awam biasanya dibuat dengan memanggil pihak yang terlibat - sama ada saksi, pelaku atau mangsa - sesuatu peristiwa.

Sehingga kini satu-satunya laporan rasmi berkaitan tragedi 13 Mei 1969 ialah laporan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Sebelum ini terdapat gesaan agar status rahsia dokumen mengenai peristiwa itu ditukar namun kerajaan berkata tiada permohonan rasmi berkenaannya.

Rekod lain adalah daripada sumber lain, termasuk dokumen kerajaan British yang dibuang status rahsianya (declassifed).