Sultan Johor- 'Pihak luar usah sibuk melompat-lompat tak tentu arah'
  • 5 years ago
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah negeri Johor tidak memerlukan orang lain "melompat-lompat" mencampuri urusan pentadbiran negeri tersebut.

Titah sultan Johor itu negeri terbabit mempunyai adat dan cara pemerintahan yang tersendiri sejak ia wujud.

"Tidak perlu ada pihak luar yang sibuk melompat-lompat tidak tentu arah bercerita tentang siapa yang berkuasa dan bagaimana untuk mentadbir Johor," titahnya hari ini.

Kenyataan itu dibuat mengiringi pengesahan pelantikan Dr Sahruddin Jamal sebagai menteri besar baru Johor pagi tadi.

Sahruddin yang juga Adun Bersatu yang mewakili kawasan Bukit Kepong dilantik menggantikan Osman Sapian yang meletak jawatan pada 8 April lalu.

Titah Sultan Ibrahim pihak terbabit tidak perlu membuang masa dengan bercakap tentang perkara yang tidak berfaedah dengan menabur fitnah dan mereka-reka cerita hanya untuk menarik perhatian atau mengelirukan rakyat.

Sebaliknya, titah baginda, mereka wajar menumpukan perhatian untuk membantu kehidupan "rakyat yang susah" dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.

"Kedaulatan Johor, kesucian agama Islam dan keistimewaan orang Melayu hendaklah sentiasa dipelihara daripada diganggu gugat oleh pihak luar yang berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia," titahnya.

Isu pelantikan menteri besar Johor menjadi perhatian ramai sejak beberapa minggu lalu apabila tersebar khabar Osman akan digantikan.

Apabila peletakan jawatan Osman diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad beberapa perkembangan menarik dan 'panas' berlaku.
Antaranya penegasan Mahathir bahawa parti pemerintah berhak memilih mana-mana Adun yang dirasakan sesuai bagi mengisi jawatan menteri besar.

Kenyataan Mahathir dibuat susulan ciapan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap PH dalam isu berkenaan.

Tunku Ismail berkata kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak Sultan dan meminta pihak kerajaan supaya menghentikan politicking.