Polis buru kumpulan lelaki cuba samun di Bukit Kuchai

  • 5 years ago
Polis sedang mengenal pasti kumpulan lelaki yang dipercayai cuba melakukan samun di sebuah rumah di Bukit Kuchai, Serdang dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan berkata dalam kejadian kira-kira 4.05 petang itu, kumpulan yang terdiri daripada kira-kira tujuh lelaki dengan menaiki empat motosikal dilihat berlegar-legar di kawasan perumahan itu sebelum dua daripada mereka memasuki sebuah rumah dengan bersenjatakan parang.

Katanya, Ketika kejadian, penghuni rumah iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mahu keluar rumah sebelum tiba-tiba dua suspek itu berlari ke arahnya dan memasuki perkarangan tempat letak kereta.

Ismadi memberitahu, kedua-dua lelaki itu bertindak menendang dan menetak pintu kayu menggunakan parang yang kemudian memecahkan cermin rumah serta membocorkan tayar kereta mangsa jenis Suzuki Swift sebelum melarikan diri.

Tambah Ismadi, siasatan lanjut sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.