'Suspek sudah dikenal pasti, tak harus ada inkues'

  • 5 years ago
Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mahu siasatan kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dijalankan dengan telus agar tidak wujud campur tangan politik, kata pengerusinya Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan UMMAH menganjurkan perhimpunan di seluruh negara jika wujud salah laku dalam pengendalian siasatan itu.

Muhammad Adib, 24, cedera parah dipercayai dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, November lepas dan anggota bomba itu disahkan meninggal dunia pada 18 Dis di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Pada 10 Jan lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata polis telah melengkapkan sepenuhnya siasatan kes kematian Muhammad Adib dan kertas siasatan itu telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.