Akhbar Pendidikan Utusan Pelajar perlu dipergiat ke sekolah luar bandar

  • 6 tahun lalu
JOHOR BAHRU 14 Mei - Akhbar Pendidikan Utusan Pelajar perlu dipergiat dan diperluas ke sekolah-sekolah luar bandar dalam usaha memastikan golongan pelajar di sana mendapat bantuan pembelajaran yang baik.

Rata-rata guru yang ditemui di Festival Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017 di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall, di sini memuji usaha Utusan Malaysia menerbitkan Utusan Pelajar yang merupakan suplemen kepada pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21).

Menurut mereka, Utusan Pelajar banyak membantu murid-murid meningkatkan prestasi mereka dalam pelajaran lebih-lebih lagi bagi subjek Bahasa Melayu Penulisan.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai 2, Kulai, Nor'Ani Sarbini berkata, sekolahnya melanggan Akhbar Utusan Pelajar sejak 10 tahun lalu.

"Biarpun saya baru sahaja menjadi guru besar selama setahun di sekolah ini, namun saya dimaklumkan bahawa Utusan Pelajar merupakan salah satu alat bantuan mengajar yang wajib ada sejak dahulu lagi di sekolah ini.

"Bahasa yang digunakan dalam Utusan Pelajar sangat mudah difahami oleh murid-murid dan pengisiannya juga padat dan bersesuaian dengan silibus pelajaran," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Rousliluddin Ambia berkata, sebagai seorang pensyarah yang melatih guru, beliau memang menggalakkan guru-guru untuk menggunakan Utusan Pelajar sebagai alat bantuan mengajar.

"Utusan Pelajar memberi fokus kepada peperiksaan dan topik-topik yang diketengahkan juga sangat bagus dan mudah difahami oleh murid-murid.

"Akhbar ini perlu diperluas ke sekolah-sekolah luar bandar kerana ia boleh membantu meningkatkan prestasi murid lebih-lebih lagi dalam subjek Bahasa Melayu," katanya yang akan memberikan ceramah Perkongsian Amalan Terbaik kepada pelajar sekolah dalam Festival Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017 di sini.

Dalam pada itu, Guru Bimbingan Kaunseling SK Permas Jaya 1, Johor Bahru, Seri Rahayu Suparman pula berkata, usaha yang dilakukan Utusan Malaysia dalam menerbitkan Utusan Pelajar wajar dipuji.

"Soalan-soalan yang diberikan di dalam Utusan Pelajar banyak memberi keutamaan kepada latih tubi dan ini membantu murid untuk mengulangkaji pelajaran dengan mudah seterusnya mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran," katanya. - UTUSAN ONLINE

Disyorkan