Isuzu Malaysia tingkatkan sasaran jualan MU-X

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 14 Jun – Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. optimis jualan Isuzu MU-X yang serba baharu mampu mencapai sebanyak 1,000 unit sebelum akhir tahun, berbanding sasaran awal untuk menjual 700 unit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kenji Matsuoka berkata, syarikat sudah menerima tempahan seba­nyak 300 unit sebelum ia dilancarkan secara rasmi dan ia sememang­nya melangkaui jangkaan awal.

Katanya, Isuzu Malaysia sehubungan itu yakin dapat menjual sebanyak 1,000 unit menjelang akhir 2015 sekali gus memboleh­kan mereka menguasai 30 peratus pasaran dalam segmennya.

“Permintaan kukuh bagi ken­deraan utiliti sukan (SUV) ini ter­utamanya dalam kalangan pembeli di kawasan bandar yang kagum dengan reka bentuk menarik serta fungsi serba boleh.

“Dengan rekaan menarik, ruang dalaman luas, tahap keselamatan dan keselesaan yang tinggi, Isuzu Malaysia menerima maklum balas awal yang cukup memberangsangkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Isuzu MU-X serba baharu direka untuk membawa tujuh orang dewasa dengan selesa disasarkan kepada mereka yang mahu menikmati gaya hidup aktif tanpa perlu berdepan halangan dari segi ruang, keselesaan, keselamatan atau penjimatan bahan api.

Dibina berasaskan platform Isuzu D-MAX yang tahan lasak, Isuzu MU-X membawa banyak keistimewaan model D-MAX termasuk kerangka jenis ‘ladder’ yang kukuh, rangkaian kuasa yang pelbagai dan ciri keselamatan dinamik.

Dikuasakan dengan enjin diesel Variable Geometry System (VGS) bersesaran 2.5 liter yang menjimatkan bahan api, Isuzu MU-X serba baharu menawarkan pemandu keselesaan dan prestasi yang lancar.