LIMA 2015: Persembahan udara penuh warna, berseni dan mendebarkan

  • 6 tahun lalu
LIMA 2015: Persembahan udara penuh warna, berseni dan mendebarkan
Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

LANGKAWI 18 Mac-Persembahan Udara sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA 2015) tampil dengan aksi yang lebih menyegarkan daripada penampilan sulung pasukan aerobatik daripada China dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Pasukan aerobatik China, August 1st yang buat pertama kali membuat persembahan luar daripada negara itu menggunakan 7 buah pesawat Chengdu J10 menampilkan aksi luar biasa daripada juruterbang wanita.

Pasukan UAE, Al Fursan Aerobatic Team pula menggunakan 8 buah pesawat Aermacchi MB-339.

Seorang pengunjung tempatan, Eric Sinnaya berkata, persembahan udara LIMA memperlihatkan peningkatan kualiti yang mengkagumkan.

"Saya amat tertarik dengan formasi yang dilakukan oleh pasukan aerobatik ini. Mereka juga mampu mengendalikan pesawat dengan teknik yang sangat hebat.

"Sudah tentu persembahan daripada pasukan China amat dinantikan kerana persembahan mereka dikendalikan oleh juruterbang wanita yang menunjukkan kekuasaan wanita yang sebenar," jelas Erik.

Pasangan suami isteri,Vincent Brennan dan Kim Novak dari Perancis yang merupakan pengunjung perdagangan LIMA 2015 turut teruja dengan persembahan yang dianggap mendebarkan.

"Isteri saya berpendapat persembahan udara yang ditampilkan dalam LIMA ini ibarat persembahan 'white swan' yang penuh seni. Saya suka dengan bunyi enjin serta ketepatan tindakan yang dibuat oleh juruterbang," kata Vincent yang turut dipersetujui oleh Kim.

"Satu persembahan yang amat mengagumkan dengan kelajuan dan ketepatan yang di luar jangkaan," jelas Kim.

Persembahan udara LIMA 2015 kali ini disertai oleh 58 buah pesawat pelbagai jenis daripada enam buah negara termasuk Maaysia, Singapura, Amerika Syarikat dan Perancis.-UTUSAN ONLINE