Terlanjur Mencintaimu, TV1 - Episod 2 - 18/1/2015
  • 9 years ago
Terlanjur Mencintaimu, TV1 - Episod 2 - 18/1/2015

JUDUL : TERLANJUR MENCINTAIMU
EPISOD : 26 episod
TARIKH : 17 Januari 2015 (Sabtu & Ahad) , 7pm - 8pm
SIARAN : Slot Widuri, TV1 (RTM)
PENGARAH : Mansor Akob
SKRIP: Mohd Fadzil Mazlan (Tok Uban)
TERBITAN : Tekun Resmi Sdn Bhd
PENERBIT EKSEKUTIF: Rosli Che' Daud
Penerbit: Mohd Hairol Azri Ahmad & Wan Ibrahim Wan Ismail

PELAKON : Ungku Ismail Aziz, Reen Rahim, Wan Hanafi Su, Qazem Nor, Nisha Dirr, Liza Abdullah, Rahim Jailani, Kuna, Khaty Azean & Sheera Iskandar


Sinopsis Drama Terlanjur Mencintaimu :

Adaptasi novel popular makin menjadi pilihan penerbit drama akhir-akhir ini. Kali ini novel Terlanjur Mencintaimu karya Syamnuriezmil menjadi pilihan produksi Tekun Resmi Sdn Bhd untuk drama bersiri 26 episod. Ia menampilkan gandingan Ungku Ismail dan Reen Rahim serta dibantu Qazem Nor, Nisha Dirr, Liza Abdullah dan Rahim Jailani. Ceritanya berkisar kepada Johan Iskandar mempunyai dua sebab terpaksa mengahwini Tengku Hanis Zulaikha. Sebab pertama, wasiat Tok Din dan satu lagi sebab ayahnya, Izhar. Tengku Hanis terpaksa menerima keputusan wasiat itu kerana takut keluarganya merempat. Dia mulanya tidak mencintai Johan disebabkan rasa takut yang mendalam akan ditinggalkan. Dalam keterpaksaan, akhirnya mereka disatukan. Pada masa sama, perkahwinan itu melukakan hati Intan, gadis yang rapat dengan Johan di kampung. Intan kemudian membawa hati melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur dan diterima menjadi jururawat.

Selepas berkahwin, mereka tinggal di kediaman mewah di Kuala Lumpur dan Johan mula bekerja di STH Holding. Johan bekerja bersungguh-sungguh hingga mengetepikan waktu rehatnya dan membuatkan Tengku Hanis mengaguminya dalam diam. Mereka kemudian memutuskan untuk berbulan madu dan Kelantan menjadi pilihan. Tanpa diduga mereka bertemu Ashraf, pemuda yang pernah disayangi Tengku Hanis. Tengku Hanis kembali bersedih namun dia ceria kembali dengan lawak dibuat Johan. Satu hari ibu Tengku Hanis, Tengku Zabariah sakit. Ketika dirawat di hospital, Johan bertemu Intan yang bertugas sebagai jururawat di situ. Namun segala-galanya dirahsiakan daripada pengetahun Tengku Hanis kerana bimbang dia cemburu. Kehadiran Lutfiah, ibu Johan melawat besannya membongkar rahsia Intan hingga sampai ke pengetahuan Tengku Hanis.

Johan terlalu komitmen dengan kerjanya hingga jatuh sakit. Tengku Hanis mula bersimpati dengan suaminya dan menawarkan diri untuk kembali bekerja di STH Holding. Johan hanya bersetuju. Ketika satu mesyuarat dengan pelanggan, Johan bertemu Eryna, teman sekuliahnya sewaktu di IPTA.Pertemuan itu membangkitkan perasaan cemburu Tengku Hanis. Dia bertambah cemburu apabila mengetahui Eryna turut terbabit dalam projek terbaru diuruskan Johan. Kebenaran akhirnya terbongkar mengenai wasiat datuk Tengku Hanis. Sebenarnya Johan terpaksa menanggung kesalahan dilakukan bapanya, Izhar yang menggelapkan duit syarikat STH Holding. Dalam keterpaksaan, Johan menceritakan segala-galanya kepada Tengku Hanis. Ketika itu Tengku Hanis menyedari ketulusan hati suaminya.

Tengku Hanis disahkan mengandung. Namun dendam Makcik Lijah yang bermusuh dengan Lutfiah, ibu Johan memadamkan hasrat mereka menimang cahaya mata, sekali gus memenuhi wasiat supaya Tengku Hanis dan Johan memiliki zuriat dalam dua tahun perkahwinan mereka. Tengku Hanis keguguran dan dia menyalahkan Johan yang tidak dapat bersamanya ketika Makcik Lijah menolaknya jatuh di tepi jalan. Johan cuba memujuk Tengku Hanis namun tidak diendahkan. Perjanjian wasiat semakin mendekat. Masih adakah peluang mereka mendapatkan hak harta wasiat yang mengkehendaki mereka memiliki cahaya mata sebelum tamat tarikh dua tahun yang ditetapkan? Saksikan Terlanjur Mencintaimu setiap Sabtu dan Ahad, jam 7 malam menerusi slot Widuri di TV1, mulai 17 Januari ini.